Tuesday, March 27, 2012

Puasa-Puasa Sunat Menurut Sunnah

Puasa Enam Hari Syawal
Dari Abu Ayyub RA beliau berkata, bahawa Rasulullah pernah bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikutinya berpuasa enam hari di bulan Syawal adalah orang tersebut seperti berpuasa satu tahun." (Hadis Riwayat Muslim)

Puasa Bulan Syaaban
Dari Aisyah RA menceritakan: "Saya tidak pernah mengetahui (melihat) Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya satu bulan penuh, kecuali pada bulan Ramadhan, dan saya tidak pernah mengetahui pada bulan-bulan yang lain berpuasa lebih banyak dari bulan Syaaban." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Puasa 13, 14, 15 Setiap Bulan
Berpuasa pada tanggal 13, 14 dan 15 (hari-hari bertepatan dengan bulan purnama). Ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Dzar: "Ya Abu Dzar, apabila engkau berpuasa tiga hari dalam satu bulan, maka berpuasalah engkau pada tanggal tiga belas, empat belas dan lima belas." (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Puasa 9 Zulhijjah (Hari Wukuf)
Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

Puasa Isnin & Khamis
Diriwayatkan dari 'Aisyah RA menceritakan bahawa: "Adalah Rasulullah SAW amat menjaga puasa pada hari Isnin dan Khamis." (Riwayat Imam Tirmidzi) Menurut beliau, hadis ini hasan soheh.

Puasa 9 & 10 Muharram
Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Apabila Rasulullah SAW berpuasa pada hari 'asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata: Wahai Rasulullah, ini ialah hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah SAW berkata, "Pada tahun hadapan - InsyaAllah - kita berpuasa pada hari kesembilan." Maka tidak tibanya tahun hadapan itu sehingga wafatlah Rasullulah SAW. (Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud)

Puasa Selang Sehari (Puasa Nabi Daud)
Puasa Nabi Daud AS bermaksud; puasa sehari dan berbuka sehari dengan mengecualikan hari-hari yang diharamkan berpuasa iaitu dua hari raya dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Kelebihannya ialah sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah ialah solat Nabi Daud; beliau tidur separuh malam, bangun (mengerjakan solat) sepertiganya dan tidur semula seperenamnya. (Adapun puasa) beliau berpuasa sehari dan beliau berbuka (yakni tidak berpuasa) sehari." (Riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin 'Amru RA)



No comments:

Post a Comment